Sunday 6 January 2013

Terima Kasih Ayahanda. Daku memulakan langkah perjuangan Da'wah dan Tarbiah di Landasan Siyasah

1. Di suatu hari dan di suatu masa yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Besar, aku dipanggil oleh ayah. Dan aku diberikan tugasan olehnya.

2. Alhamdulillah. Aku mesti pikul amanah dan tanggungjawab. Perjuangan Da'wah dan Tarbiah mesti dihijrahkan ke semua lapangan.

3. Di saat ini, kusujud kepadamu Illahi Rabbi dan berikanlah aku petunjuk di jalan yang Lurus Siraat Al Mustaqiim. Bersihkan Jiwa. Kuatkan Rohani. Teguhkan Aqidah. Tauhidku mesti utuh seutuh tiang yang menegakkan addin dalam diriku.

Ayahyanda Yang Kukasihi - Kita berkasih di dalam Tarbiah, kita berkisah ditekuni Da'wah 
1. Kisah Ayah, ABIM dan KPIP

Semasa ayah berada di Taiping, dikunjungi Anuar Tahir, aktivis ABIM ketua Kesatuan Pelajar Islam Perak (K.P.I.P.). Kunjungannya yang bermakna dalam mengatur langkah perjuangan seterusnya. Beliau bercerita kepada ayah tentang kegiatan-kegiatan ABIM, khasnya di negeri Perak. Di antara kegiatan itu ialah membuka sebuah institusi pendidikan yang hampir sama dengan Institut Harapan – iaitu membantu anak-anak bangsa yang "drops out" supaya mereka dapat meneruskan pelajarannya sehingga ke universiti. Institusi ini sedang mendapat sambutan hangat dari pelajar-pelajar. Jumlah pelajarnya sudah mendekati ribuan orang. Ceritanya cukup menarik perhatian ayah, dan pada tahun berikutnya, iaitu tahun 1979, beliau datang lagi mengunjungi ayah bersama Bapak Dr. Deliar Noor. Bapak Deliar yang sudah ayah kenal semenjak awal tahun 1960 an semasa belajar di Universiti Islam Sumatera Utara. Pada masa itu mereka sedang sibuk dalam perjuangan menghadapi kemaraan Partai Komunis Indonesia (P.K.I.). Ayah ketika itu adalah pensyarah di Universiti Sumatera Utara (USU). Kami yang tergabung di dalam H.M.I. dan P.I.I. menjadikan beliau tempat rujukan dalam mengatur strategi dalam menghadapi kegiatan-kegiatan P.K.I..

Anuar memberitahu ayah bahawa beliau telah berpindah ke Kuala Lumpur atas permintaan pimpinan ABIM Pusat untuk membantu kerja-kerja ABIM dan telah dilantik menjadi wakil WAMY dan IIFSO bagi kawasan Asia Pasifik. Beliau mengharapkan kalau ayah dapat berpindah ke Ipoh untuk membantu kawan-kawan di Institut Sofar – iaitu nama bagi institut pendidikan yang baru dibuka itu. 

Kemudian ayah dikunjungi oleh Fadhil Alias, seorang guru muda di Institut Sofar di Ipoh. Beliau menyampaikan permintaan teman-teman di Institut Sofar supaya dapat berpindah ke Ipoh untuk sama-sama berkhidmat di Institut Sofar. Dengan itu, pada bulan Jun 1980, ayah bersama ibu dan enam orang anak (ketika itu saya adalah anak yang keenam dan berusia 2 tahun) berpindah ke Ipoh untuk berkhidmat di Institut Sofar.

2. Berhijrah ke Ipoh Dan bergiat di Institut Sofar

Pengetua Institut Sofar ialah saudara Abdul Halim bin Ismail (Tuan Haji) yang baru menyelesaikan studinya di Fakulti Ekonomi Universiti Malaya. Beliau dibantu oleh beberapa orang tenaga muda lulusan universiti. Di antaranya saudara Syed Dawilah (Prof. Dr.), Mohammad Ridzuan Othman (Prof. Dr.), Muhammad Munawwar, Jamaluddin Maidin, Abdul Ghani Dahlan, Syed Muhsin dan yang lain-lain. Malahan ada beberapa orang guru wanita lulusan universiti. Mereka semua amat komited dengan ABIM yang melahirkan kesatuan fikrah dalam memberikan bimbingan dan tarbiah kepada pelajar-pelajar yang belajar di Institut Sofar. 

Nampak jelas perbezaan di antara pelajar-pelajar Institut Sofar dengan pelajar-pelajar lain dari sudut disiplin, pakaian dan pergaulan. Di sebelah malam selalu ada program-program yang diatur oleh ABIM dan KPIP. Pada waktu-waktu cuti atau hujung minggu selalunya ada program tamrin atau seminar – yang sebahagian pelajar boleh mengikutinya. Sehingga mereka lebih matang dalam usaha pembinaan syahsiah dan kepimpinan. 

3. Ayah adalah Murshid kepada para sahabatnya di dalam pembinaan pemikiran dan tashawwur

Ayah diminta untuk menyertai usrah pimpinan negeri. Dalam usrah pimpinan ini ikut membincangkan buku-buku yang ditulis oleh tokoh-tokoh pemikir dan pimpinan Islam antarabangsa seperti: Abu A'la al Maududy, Abul Hasan An Nadwy, Mohammad Natsir, Hasan al Banna, Sayyid Qutb, Mohammad Qutb, Abdul Qadir Audah, Hasan al Hudaiby, Mohammad al Ghazali, Yusuf al Qardhawy, Fathi Yakan, Said Hawa dan sebagainya. Manakala tafsir Al Quran terus merujuk kepada tafsir "Fii Zhilal al Quran" oleh Sayyid Qutb. 

Hasilnya, pemikiran dan tashawwur terhadap Islam semakin mantap. Cinta kepada Islam dan komitmen untuk menegakkan risalahnya semakin kuat. Sesungguhnya Institut Sofar telah memberi sumbangan yang tidak kecil ertinya dalam membina kader-kader Islam di negeri ini. Sekurang-kurangnya untuk jangka masa yang tertentu. 

4. Anwar Ibrahim dalam kisah hidup ayah

Anwar Ibrahim yang menjadi Ketua Perwakilan WAMY kawasan Asia Pasifik pada waktu itu berkenan membuat permohonan kepada Darul Ifta', sebuah Lembaga Dakwah di bawah kerajaan Arab Saudi yang menyediakan Pendakwah di seluruh dunia untuk melantik saya sebagai seorang Pendakwah yang ditugaskan di Institut Sofar. 

Maka bermula pada tahun 1984 ayah menjadi Pendakwah Darul Ifta' di bawah pentadbiran Islamic Counsellor pada kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur yang bertugas di Institut Sofar dan negeri Perak. Ayah ditugaskan mengajar di Institut Sofar dan memberi pengajian di masjid-masjid dan surau sekurang-kurangnua 16 kali dalam satu bulan. 

Di samping menyertai program-program dakwah yang dianjurkan oleh kerajaan dan badan-badan dakwah yang ada di negeri Perak. Dengan itu, kesibukan semakin bertambah, kerana dikehendaki untuk melaporkan semua kerja-kerja dakwah itu kepada pentadbiran Islamic Counsellor di Kuala Lumpur setiap bulan. Kerja-kerja ini menambah pengalaman baru bagi ayah kerana terpaksa memahirkan "murasalaat" atau surat menyurat dalam bahasa Arab yang sudah lama ditinggalkan.

5. Ayah menyantuni Qiyadah, memekari Da'wah dan meneruskan usaha Tarbiah

Selain daripada itu ayah dikehendaki juga membaca beberapa kitab penting dan memberi pendapat mengenainya. Tugas ini sudah tentu menambah ilmu dan wawasan pemikiran yang lebih luas. Terutama mengenai pendapat-pendapat para ulama' Salaf al Shalihin.

Pihak ABIM juga membekali ayah kitab-kitab terbaru yang ditulis oleh tokoh-tokoh pemikir dan penulis yang terkenal seperti Dr. Yusuf al Qardhawi, Dr. Thaha Jabir Alwani, Dr. Said Ramadhan al Buthi, Syeikh Muhammad al Ghazali dan Syeikh Abdul Rahman Abdul Khaliq dan meminta kepada ayah untuk menterjemahkannya ke Bahasa Malaysia. 

Di antara buku-buku yang sempat ayah terjemahkan ialah: 
1. Kebangunan Islam Di Antara Tantangan dan Ekstrimisme oleh Dr. Yusuf al Qardhawi. 
2. Perbezaan Pendapat Di Dalam Islam oleh Dr. Thaha Jabir Fayyadh al 'Alwani. 
3. Bagaimana Berinteraksi Dengan Al Quran oleh Syeikh Muhammad Al Ghazali. 
4. Prinsip-prinsip Dakwah salafiyyah oleh Syeikh Abdul Rahman Abdul Khaliq. 
5. Membina Tamadun Menurut Manhaj AL Quran oleh Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al Buthi. 

Semuanya diterbitkan oleh Dewan Pustaka Islam ABIM kecuali yang akhir diterbitkan oleh Penerbitan Salafi. Ada juga beberapa risalah yang ayah terjemahkan dan sempat diterbitkan seperti:
1. Kebahagian Rohani oleh Sayyid Qutb. 
2. Islam Dakwah Yang Syumul oleh Dr. Yusuf Qardhawi. 
3. 40 Nasehat Memperbaiki Rumahtangga oleh Syeikh Muhammad Shaleh al Munajjid. 
4. Saya Ingin Bertaubat, Tapi... oleh Syeikh Mihammad Shaleh al Munajjid. 
5. Kaedah Mengkritik dan Menghukum Menurut Ahlu Sunnah oleh Syeikh Ismail as Shini. 

Selain daripada buku-buku terjemahan ini ada juga buku-buku yang ditulis dalam format kecil, iaitu: 
1. Gejala Sosial: Pendekatan Islam Ke Arah Penyelesaian Menyeluruh. 
2. Kaunseling Dalam Islam. 
3. Anda Ingin Khusyu' Dalam Solat? 
4. Mencari Redha Allah di Bulan Ramadhan. 

Di samping itu ayah juga terlibat juga menulis dan membentang kertas kerja dalam seminar-seminar pemikiran Islam, di antaranya: 

1. Seminar Kesedaran Islam di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1986 – Menulis dan membentang kertas kerja bertajuk "Perjuangan Muhammad bin Abdul Wahab dalam membela Sunnah dan Memerangi Bid'ah". 
2. Seminar Pemikiran Islam di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) pada tahun 1987 – Sebagai pengulas kepada kertas kerja yang bertajuk "Pengaruh Muhammad bin Abdul Wahab Kepada Dunia Islam Dalam Bidang 'Aqidah dan Politik". 
3. Seminar Antarabangsa mengenai pemikiran Islam di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, Kuala Lumpur pada 24-25 Februari 1990 – Menulis dan membentang kertas Verja bertajuk "Gerakan Syi'ah di Nusantara Kini".
4. Seminar Kecemerlangan Wawasan Ahli Sunnah wal Jama'ah yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada 20 Jun 1996 – Menulis dan membentang Kertas kerja bertajuk "Percanggahan 'Aqidah di antara Ahlu Sunnah dengan Syi'ah". 
5. Muzakarah Guru-Guru Agama Dakwah Negeri Perak Darul Ridzuan pada 27-29 Julai 1989 – Menulis dan mebentang kertas kerja bertajuk "Bekalan Du'aat". 
6. Bengkel Strategi dan Pengurusan Guru Agama Dakwah Negeri Perak pada 13-15 September 1993 – Menulis dan mebentang kertas kerja bertajuk: "Sikap Da'ie Terhadap Gerakan Syi'ah". 

Masih banyak lagi kegiatan-kegiatan dakwah yang diceburi oleh ayah bersama ABIM, Badan-badan Dakwah yang ada di negeri Perak, Jabatan Agama Islam Negeri Perak Darul Ridzuan dan tugas-tugas Dakwah Darul Ifta'. 

Di antaranya yang penting ialah: 
1. Kursus penerapan nilai-nilai Islam bagi pegawai Polis berpangkat Inspektor Kontijen Perak.
2. Kursus peningkatan guru-guru ta'mir masjid/surau negeri Perak
3. Kursus latihan intesnsif imam-imam masjid negeri Perak
4. Muzakarah ulama' mengangkat martabat ummat
5. Menjadi peserta dari negeri Perak dalam  muzakarah dakwah bersepadu peringkat kebangsaan. 

Malahan Pusat Islam memberi kepercayaan kepada ayah untuk berdialog dengan pemimpin-pemimpin Al Arqam yang ditahan di Kem Kemunting Taiping pada tahun 1996. Dengan itu, ayah terlibat secara aktif dalam usaha pemulihan 'aqidah Jamaah Al Arqam yang menyeleweng bersama Jabatan Agama Islam Perak. 

Selain itu ikut aktif dalam menghadapi "gerakan fahaman Syi'ah di tengah-tengah Ahlu Sunnah" pada tahun-tahun 80 an dan 90 an. Sama ada berbentuk tulisan atau ceramah; untuk membendung fahaman ini menular di kalangan Ahlu Sunnah Wal Jamaah. 

Berhadapan dengan gerakan Syiah yang gencar di tengah-tengah golongan Ahlu Sunnah Wal Jama'ah adalah merupakan fenomena baru yang mesti dihadapi dengan segala kesungguhan. Untuk itu, ayah melakukan pengkajian yang teliti kepada sumber-sumber utama (Maraajik) Syi'ah sendiri untuk mendapat gambaran yang jelas sejauh mana percanggahan di antara 'aqidah dan fahaman Syi'ah dengan 'aqidah dan fahaman Ahlu Sunnah bagi meatah hujjah pendakwah-pendakwah Syi'ah dan memberitahu pengikut-pengikut Ahlu Sunnah tentang penyelewengan fahaman Syi'ah itu. 

Ayah sempat menulis tiga kertas kerja mengenai masalah ini, iaitu: 
1. Percanggahan di antara 'aqidah Syi'ah dengan 'aqidah Ahlu Sunnah wal Jama'ah. 
2. Gerakan Syi'ah di Nusantara Kini. 
3. Sikap da'ie terhadap gerakan Syi'ah. 

Ayah juga terlibat di dalam pertubuhan-pertubuhan dakwah yang ada di negeri Perak. Di antaranya Persekutuan Seruan Islam Perak dan PERKIM Bahagian Negeri Perak. Dalam Persekutuan Seruan Islam Perak, ayah dilantik menjadi Ketua Biro Dakwah pada tahun 1996-1999. Manakala di dalam PERKIM menjadi Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri Perak pada tahun 1995-1996. 

1 comment:

  1. Assalamualaikum boleh tahu bila tarikh lahir ustaz rivai dan sejarah pendidikan beliau. Terima kasih

    ReplyDelete